SAMBUTAN 60 TAHUN PERTAHANAN AWAM

24 Mac 2012 - Dalam menghadapi saat cemas, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), adalah diantara agensi yang memainkan peranan penting dan sentiasa bersiap sedia memberikan pertolongan. Selain itu, ia turut memberikan pelbagai jenis latihan menyelamat dan kecemasan kepada setiap lapisan masyarakat daripada kanak-kanak tadika sehinggalah warga emas supaya masing-masing bersedia menghadapi bencana dan musibah yang tidak tahu bila dan di mana ia akan berlaku.

JPAM ditubuhkan secara rasminya pada 24 Mac 1952 bagi mentadbir dan melaksanakan peruntukan yang terkandung dalam Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221). sejak ditubuhkan pada 1952, JPAM yang dahulunya dikenali sebagai Passive Defence sentiasa memainkan peranan penting dalam menghadapi pelbagai bencana dan insiden kecemasan. Biarpun mencecah usia 60 tahun peranan JPAM dalam menangani situasi bencana tetap relevan kerana ia adalah antara agensi kerajaan bertanggungjawab melaksanakan peranan dan menyelamat nyawa mahupun harta benda awam sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian. Malah secara tidak langsung menarik pembabitan orang awam dalam kerja sukarelawan.

Bertempat di Padang Awam Paloh, Kluang, Johor, kemeriahan sambutan ke 60 Tahun Jabatan Pertahanan Awam Malaysia memberi pendekatan baru JPAM untuk terus mendekatkan diri dengan masyarakat dari perlbagai golongan. Seramai 120 orang warga JPAM Perlis yang terdiri daripada pegawai tetap, anggota pasukan, SISPA dan PISPA hadir untuk menyaksikan majlis yang penuh bersejarah ini. Sambutan ini telah dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling.

Transformasi dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyebabkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kini diterima masyarakat sebagai pasukan barisan depan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana. Keadaan itu dibuktikan apabila 98 peratus daripada 394,962 anggota JPAM ketika ini berkhidmat secara sukarela dengan pasukan terbabit, berbanding petugas tetapnya seramai 1,149 orang. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keupayaan JPAM menarik penyertaan hingga mempunyai keanggotaan terlatih seramai 394,962 itu membuktikan pasukan terbabit diterima dan relevan dalam masyarakat.

Katanya, bantuan yang disokong menerusi gerakan sukarelawan yang membabitkan rakyat menjadi nadi utama keamanan dan kesejahteraan negara.

“Realitinya JPAM mempunyai hanya 1,149 penjawat awam tetap mantap dengan sokongan daripada Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA). Masa sama JPAM turut melatih 57 Pasukan Bertindak Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) membabitkan 2,236 orang di kilang awam dan swasta serta sukarelawan peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Seramai 607,302 orang awam sudah diberikan kesedaran dan kemahiran bagi menghadapi kecemasan serta bencana setempat melalui Komponen Kesiapsiagaan Awam, Pertahanan Menyeluruh (HANRUH),” katanya.

Turut diadakan upacara penyampaian Pangkat dan Pingat Pertahanan Awam. Mewakili JPAM Perlis, PS 12 Mohd Azmi bin Salim telah menerima Pingat Setia Pertahanan Awam manakala L/Kpl (PA) Suri Bt Aziz telah dianugerahkan Pingat Am Pertahanan Awam.










Untuk melihat koleksi berita yang lepas, sila ke "Arkib"


Anda adalah Pelawat ke