1 Ogos 2015 - Perlis FM dengan
kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mata Ayer telah mengadakan program Jom
Raya RTM Masuk Kampung untuk mendekatkan RTM dengan masyarakat setempat.
Program ini diadakan pada 1 Ogos 2015 bertempat di SMK Mata Ayer,Mukim Ngulang.
Yang Berhormat Tuan Haji Khairi bin Hassan, ADUN Mata Ayer telah banyak
membantu pihak RTM dalam merealisasikan program ini. Penglibatan masyarakat
setempat khususnya penduduk kawasan Mata Ayer telah melancarkan lagi aktiviti
yang cukup bermakna pada kali ini. Penduduk setempat dan RTM telah bergotong
royong dan menggembleng tenaga membuat persiapan dan menyertai pelbagai
aktiviti yang telah dirancang.
Pada sebelah pagi
program yang telah dijalananlan ialah Senam Seni Jantung,Larian Selut,Gagau
Harta Karun Dalam Sungai,Pertandingan Pancing Ikan,Gotong Royong Memasak
Kenduri Kampung,Panjat Tiang Licin,Pertandingan Buat Keranda Antara
JKKK,Pertandingan Anyaman Ketupas Berpasangan,Pertandingan Mewarna Dewasa dan
Pameran Agensi Kerajaan dan swasta. Turut diadakan Derma Darah dan Pemeriksaan
Kesihatan percuma untuk pengunjung. Ceramah Keibubapaan dan pertandingan Giling
Rempah juga memeriahkan suasana RTM Masuk Kampung pada sebelah pagi. Pengunjung
turut dijemput untuk menghadiri Kenduri Kampung yang disediakan oleh pihak
penganjur.
Program
diteruskan lagi pada sebelah petang dengan aktiviti menarik seperti
Pertandingan Azan Remaja dan Dewasa,Pertandingan Khutbah Remaja,Sukaneka
Kanak-Kanak,Bola Sepak Selut(Lelaki),Bola Baling Selut(Wanita),Pertandingan
Kayuh Gerek Tua Paling Lambat dan Kupas Nyok(Kelapa)Skru Driver. Aktiviti
Kayuhan Bendang Amal Bersama YB ADUN Mata Ayer bersama JKKK dan penduduk
kampong turut diadakan. Program ini bertujuan memberikan bantuan untuk golongan
Asnaf dan golongan warga emas yang layak.
Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) turut dijemput untuk memeriahkan suasana RTM
Masuk Kampung pada kali ini. JPAM Perlis telah mengadakan pameran untuk
menyampaikan info mengenai JPAM kepada pengunjung. Seramai 5 orang anggota JPAM
terlibat dalam menjayakan pameran tersebut. Pada 31 Julai 2015, pihak JPAM juga
terlibat dalam membantu pelaksanaan aktiviti Perkhemahan Unit Uniform SMK Mata
Ayer bersempena RTM Masuk Kampung. Perkhemahan ini melibatkan 40 orang pelajar
SMK Mata Ayer. Pihak JPAM telah menyampaikan ilmu berkaitan Asas Pertolongan
Cemas kepada peserta perkhemahan. Seorang pegawai dan 4 orang anggota JPAM
telah terlibat dalam slot ini. Seramai 10 orang anggota Kadet Pertahanan
Awam (KAPA) terlibat sebagai peserta pada aktiviti perkhemahan ini. Anggota KAPA
telah banyak membantu pihak penganjur dalam melakukan kerja-kerja persiapan RTM
Masuk Kampung. Mereka juga dilibatkan secara langsung dalam aktiviti pada 1
Ogos 2015.
Pada sebelah
malam 1 Ogos 2015,telah berlangsung acara yang bersejarah bagi KAPA SMK Mata
Ayer dan JPAM. Pihak RTM telah membuat rakaman mengenai Majlis Penyerahan Sijil
Keberanian daripada Ketua Pengarah JPAM kepada salah seorang anggota KAPA SMK
Mata Ayer. Anggota KAPA ini dianugerahkan Sijil Keberanian kerana menghargai
nilai keberaniannya menyelamatkan dua orang adiknya dalam insiden kebakaran
rumahnya pada bulan Julai yang lepas. Keberanian Nur Syahadah binti Abdul
Karib,14 tahun telah menjadi teladan yang baik pada semua warga KAPA Perlis.
Penyerahan sijil ini telah disempurnakan oleh wakil Perlis FM. Majlis ini turut
disaksikan oleh YB Tuan Haji Khairi Hassan,Exco Agama dan Istiadat Negeri
Perlis yang juga selaku ADUN Mata Ayer. Yang Setia Lt.Kol(PA)Ishak bin Mohd
Radzi,Pengarah JPAM Perlis turut sama mengiringi tetamu kehormat dalam majlis
penuh bermakna ini.
Pada majlis
tersebut juga telah berlaku catatan sejarah yang amat bernilai pada warga SMK
Mata Ayer dan JPAM. Pihak pengurusan JPAM dan JPN Perlis telah bersetuju
menjadikan SMK Mata Ayer sebagai Sekolah Angkat JPAM Perlis. Yang Setia
Lt.Kol(PA)Ishak bin Mohd Radzi telah menyampaikan Watikah Perlantikan Sekolah
Angkat JPAM kepada wakil pentadbiran SMK Mata Ayer,Penolong Kanan Kokurikulum
iaitu Encik Nor Hashimi bin Ismail. Liputan meluas oleh pihak RTM ini telah
menjelmakan satu impak baru pada warga SMK Mata Ayer dan JPAM.