OPERASI BANJIR PERLIS 2015



16-19 September 2015.
PERUBAHAN cuaca yang tidak menentu dan diluar jangkaan menyebabkan Negeri Perlis menerima taburan hujan yang paling kerap sepanjang bulan September ini. Hasil dari paras air yang pada mulanya pada tahap berjaga-jaga dan akhirnya ke peringkat bahaya (danger level) telah mencetuskan banjir di beberapa kawasan utara negeri ini seperti di sebilangan kampung dalam Parlimen Padang Besar. Ia berterusan dan air limpahan banjir ini bergerak ke Arau, seterusnya ke Kangar yang merupakan kawasan terakhir mengalami banjir dalam satu-satu masa seperti di perkampungan kawasan Bintong dan Sena.

Tidak dapat dinafikan, banjir kali ini salah satunya berpunca dari kesan pembangunan yang masih berstatus dalam pembinaan iaitu terusan Lencongan Barat Projek Mega Tebatan Banjir yang menghubungkan Empangan Timah Tasoh dan Kuala Perlis selain isu saliran tersumbat. 

Bagi JPAM Perlis, ia bukan penghalang bagi pasukan ini berkhidmat dalam operasi banjir. Segala hasil dari pengalaman-pengalaman yang lepas, beberapa pasukan diwujudkan dalam jangkamasa yang singkat yang terdiri dari Pasukan Pemantau sebagai First Responder dan penyelamat. Bermula dari fenomena hujan lebat dan ribut lagi pasukan ini telah siap sedia memantau ke kawasan risiko banjir bermula dari utara Perlis.

Banjir pada kali ini tidak menunjukkan kesan yang paling ketara dan masih diperingkat yang boleh dikawal oleh semua pihak yang terlibat. Proses mengeluarkan mangsa dari kediaman yang dilanda banjir oleh pasukan penyelamat bermula dari tengah malam 16 September lagi yang melibatkan rumah-rumah yang berada berhampiran dengan sungai dan kawasan rendah. Mangsa seterusnya dihantar ke pusat pemindahan yang berhampiran.

JPAM Perlis menggalas tanggungjawab ini buat pertama kali selepas jabatan ini secara rasminya berpindah ke Jabatan Perdana Menteri dan bakal mengambil alih tugas MKN sebagai urusetia Pengurusan Bencana Negeri. Ia adalah langkah pertama JPAM dalam menguruskan khidmat menyelamat dalam pengurusan bencana sama ada di peringkat persekutuan, negeri ataupun daerah. Sekaligus sebagai agensi penggerak kepada pengurusan bencana. Beberapa pusat pemindahan telah dibuka dan telah menempatkan petugas-petugas dalam mengelola pusat pemindahan hasil dari kerjasama dengan PDRM, JKM, RELA, JKKK dan KRT. 

Turut terlibat adalah sukarelawan Giat Mara dan IM4U UniMAP dalam menguruskan pusat pemindahan seperti penugasan pemasangan tent divider dan khidmat sosial komuniti. JPAM Perlis juga terlibat dalam menyediakan makanan kepada petugas dan mangsa di pusat pemindahan hasil kerjasama dangan JKM Negeri Perlis.
Untuk melihat koleksi berita yang lepas, sila ke "Arkib"


Anda adalah Pelawat ke